1. Dari Anas r.a. berkata; "Akan aku ceritakan
kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan
menceritakan setelah aku. Aku mendengar Rasulullah s.a.w.
bersabda; Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak
kejahilan, berlaku banyak perzinaan, ramai kaum perempuan dan
sedikit kaum lelaki sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus
lima puluh orang perempuan." - Riwayat Bukhari & Muslim.
2. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda; "Hari Kiamat tidak akan terjadi sehingga harta
benda melimpah ruah dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan
banyak berlaku 'al-Harj'". Sahabat bertanya, "Apakah itu ' al-Harj
' hai Rasulullah?", Nabi s.a.w. menjawab, "Peperangan demi
peperangan." - Sahih Bukhari & Muslim.
3. Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah
s.a.w. berkata; "Tidak akan terjadi kiamat sehinggalah Tanah Arab
(yang tandus ini) menjadi lembah yang subur dialiri
sungai-sungai." - Riwayat Muslim.
4. Dari Anas b. Malik r.a. bahawasanya Rasulullah
s.a.w. bersabda; "Tidak berlaku hari kiamat sehingga umatku
bermegah-megah (dengan binaan) masjid." - Riwayat Abu Dawud.
5. Dari Abdullah b. Mas'ud r.a. berkata, Rasulullah
s.a.w. bersabda; "Dunia tidak akan hilang (kiamat) sehinggalah
bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada keluargaku
(keturunanku) yang namanya sama dengan namaku." - Riwayat
Tirmidzi.
6. Dari Ali b. Abi Talib r.a. berkata; "Telah
bersabda Rasulullah s.a.w. ; "Sudah hampir sampai suatu masa di
mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya
dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya.
Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong dari
hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di
bawah naungan langit. Dari mereka berpunca fitnah itu kembali." -
Riwayat Al Baihaqi.
7. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w.
sabdanya; "Segerakanlah berbuat amal kebajikan sebelum datang
bayang bagaikan malam gelap gelita. Pagi-pagi seorang masih mukmin
tetapi apabila petang dia kafir; atau petang hari dia masih
mukmin, pagi hari dia kafir. Dijual agamanya kerana mengharapkan
keuntungan dunia." - Sahih Muslim.
8. Dari Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah
s.a.w. bersabda; "Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi
singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan
dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari
dan sehari dirasakan seperti sejam, sejam dirasakan seperti satu
petikan api." - Riwayat Tirmidzi.
Wednesday, July 26, 2006
Tanda-Tanda Kiamat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment