Sunday, January 28, 2007

PERISTIWA KARBALA DAN HARI ASHURA

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Apabila membicarakan tentang Hari Ashura yang jatuh
pada tanggal 10 Muharam setiap tahun maka kita tidak
dapat menghindarkan diri dari memperkatakan
tentang peritiwa Karbala yang begitu menyayat hati.
Peristiwa tersebut merupakan kisah di mana Saidina
Hussain r.h yang merupakan cucunda Rasulullah s.a.w
dan
juga anak kepada Saidina Ali r.h telah dibunuh dengan
kejam di sebuah tempat yang bernama Karbala di Iraq.
Rentetan dari peristiwa ini terdapat upacara-upacara
khas yang dianjurkan pada Hari Asyura dengan cara yang
amat bertentangan dengan syarak. Malah kelompok Syiah
juga telah mempergunakan peristiwa Karbala
ini demi untuk meraih simpati umat Islam kepada
kelompok mereka seolah-olah mereka ingin menggambarkan
bahawa merekalah satu-satunya kelompok yang
membela Ahlul Bait [keluarga Rasulullah]. Melalui
makalah ini penulis akan membentangkan kisah sebenar
disebalik pembunuhan Saidina Hussain di Karbala,
apakah amalan-amalan yang bertentangan dengan syarak
ketika sambutan Hari Asyura serta apakah sunnah-sunnah
Nabi s.a.w. berkaitan dengan Hari Asyura.

PERISTIWA KARBALA

Apabila Mu’wiyyah r.a meninggal dunia maka anaknya
Yazid bin Mu’awiyyah r.h telah diangkat menjadi
penggantinya. Perlantikan Yazid ini telah dipersetujui
[bai’ah] oleh majoriti para sahabat Nabi yang masih
hidup termasuk para Ahlul Bait serta masyarakat Islam.
Namun begitu penduduk Kufah yang rata-ratanya
berfahaman Syiah telah menolak kepimpinan Yazid dan
ingin melantik Saidina Hussain sebagai khalifah yang
baru. Lalu penduduk Kufah termasuk tokoh-tokoh
Syiah menulis surat kepada Saidina Hussain menjemput
beliau ke Kufah untuk tujuan tersebut. Mereka bukan
sekadar berjanji akan taat setia kepada kepimpinan
Saidina Hussain malah mereka sanggup untuk menghunus
senjata demi membela beliau serta menjatuhkan kerajaan
Bani Umaiyah pimpinan Khalifah Yazid. Saidina
Hussain memaklumkan khabar berita ini serta niat
beliau untuk ke Kufah kepada para sahabat serta ahli
keluarga beliau bagi mendengar pandangan mereka. Namun

demikian para sahabat terkemuka serta ahli keluarganya
seperti ‘Abdullah Ibnu Abbas, Muhammad bin
al-Hanafiyah, 'Abdul Rahman bin Hisyam al-Makhzumi,
‘Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib, Abdullah bin Muti’
al-Afdawi, ‘Amru bin Sa’id, ‘Abdullah bin ‘Umar, Abu
Sa’id al-Khudri dan lain-lain telah menentang niat
Saidina Hussain tersebut. Mari kita lihat beberapa
ungkapan kata-kata mereka terhadap Saidina Hussain.

‘Abdullah bin Abbas r.a berkata: “Wahai sepupuku
bagaimana anda boleh bersabar sedangkan saya tidak
boleh bersabar. Saya bimbang anda akan
binasa jika anda meneruskan hasrat anda itu. Penduduk
Iraq adalah orang-orang yang suka memungkiri janji.
Janganlah anda terpedaya dengan
pujukan mereka.” – Di nukil dari buku
Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang
Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr. Ibrahim Ali

Sya’wat, diterjemahkan oleh Dr Basri Ibrahim, terbitan
Jahabersa, cetakan 2005 Kuala Lumpur, ms. 208.

‘Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib pernah menulis
kepada Saidina Hussain sepucuk surat. Antara kandungan
surat tersebut ialah:

“Saya sangat mengharapkan agar anda benar-benar
merenung isi kandungan surat ini. Saya sebenarnya amat
kasihan dengan anda kerana bimbang
kalau-kalau anda akan binasa dan keluarga anda pula
akan terhapus. Jika sekiranya anda binasa hari ini,
akan padamlah cahaya bumi. Anda adalah
salah seorang tokoh yang menjadi ikutan masyarakat dan
harapan orang-orang mukmin. Janganlah anda
tergesa-gesa bertolak ke Iraq." – Di nukil dari
buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah
Yang Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr.
Ibrahim Ali Sya’wat, ms. 209.

‘Abdullah bin Jaafar bukan sekadar menghantar surat
bertujuan untuk menghalang Saidina Hussain dari
meneruskan rancangannya untuk ke Kufah, malah beliau
juga telah meminta ‘Amru bin Sa’id, Gabenor Khalifah
Yazid di Makkah untuk memujuk Saidina Hussain agar
membatalkan hasratnya tersebut. Namun begitu
Saidina Hussain tetap berkeras untuk berangkat ke
Kufah. Mungkin timbul persoalan di benak hati para
pembaca tentang kenapa para sahabat serta ahli
keluarganya membantah niat beliau untuk ke Kufah. Maka
di sini penulis senaraikan beberapa sebab berkaitan
dengan bantahan tersebut:

1) Mereka dapat menghidu helah golongan Syiah di Kufah
yang sememangnya terkenal dengan pengkhianatan mereka
terhadap Umat Islam. Mereka inilah
kelompok yang telah menyokong ‘Abdullah Ibnu Saba’,
terlibat dalam pembunuhan ‘Uthman bin ‘Affan r.a,
mengkhianati Saidina ‘Ali serta abang Saidina Hussain
yakni Saidina Hassan r.a. Mereka berpandangan sokongan
kuat yang menurut khabarnya datang dari penduduk Kufah
hanyalah palsu dan tindakan mereka ini
merupakan dalih mereka untuk menimbulkan susana
kacau-bilau di dalam masyarakat Islam.

2) Yazid bin Mu’awiyyah adalah seorang khalifah yang
telah dibai’ah oleh majoriti umat Islam, dikalangan
para sahabat-sahabat utama dan juga ahli keluarga
Rasulullah s.a.w.. Maka dari sisi syarak perlantikan
beliau sebagai khalifah adalah sah. Terdapat larangan
dari Rasulullah s.a.w. untuk memberontak terhadap
pemerintah yang telah dilantik umat Islam secara sah.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda:

Sesiapa telah mengangkat [telah bersetuju melantik]
seorang pemimpin kemudian memberikan kepadanya uluran
tangannya dan buah hatinya
[sebagai tanda persetujuan], maka hendaklah dia [orang
yang mengangkatnya] mentaatinya sedaya mungkin. Maka
jika datang orang lain yang
menentangnya, hendaklah mereka membunuh yang
terakhir[penentang].

Aku [‘Abdul Rahman bin ‘Abdi Rabbil Kaabah] bertanya
[kepada ‘Abdullah bin ‘Amr]: Apakah kamu mendengar ini
dari Rasulullah s.a.w.?

Dia [‘Abdullah bin ‘Amr] menjawab: Aku mendengar
[hadis ini] dengan kedua telingaku dan difahami oleh
hatiku. – Hadis Riwayat Imam Abu
Dawud, no: 3707.

Ada pula yang beranggap bahawa Khalifah Yazid tidak
memilki ciri-ciri kepimpinan yang baik serta beberapa
tuduhan tentang sifat-sifat buruk juga telah
dilemparkan terhadapnya. Jika tuduhan ini benar
sekalipun Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan
umatnya untuk tetap taat kepada pemerintah yang pada
zahirnya masih Islam walaupun dia seorang yang zalim.
Sabda Rasulullah s.a.w:

Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai
mereka dan mereka mencintai kamu. Kamu mendoakan
mereka, mereka pula mendoakan
kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu
membenci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu
melaknat mereka, mereka juga
melaknat kamu.

Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka
dengan pedang?”

Jawab Baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan
solat. Ingatlah, sesiapa yang dikuasai penguasa, lalu
dia dapati penguasa itu melakukan
maksiat kepada ALLAH, dia hendaklah membenci maksiat
tersebut namun jangan mencabut tangan dari ketaatan.”
- Hadis riwayat Imam Muslim no.
1855.

Oleh itu mereka membantah niat Saidina Hussain untuk
menyertai malah mengepalai pemberontakan penduduk
Kufah tersebut

3) Mereka juga khuatir tindakan Saidina Hussain ini
akan menimbulkan pertumpahan darah sesama umat Islam
dan akan melemahkan persatuan umat.

4) Mereka bimbang akan keselamatan Saidina Hussain dan
ahli keluarganya yang berkemungkinan akan dkhianati
oleh penduduk Kufah atau diserang oleh tentera
Khalifah Yazid.

Ternyata pujuk rayu mereka gagal untuk menghentikan
hasrat beliau untuk ke Kufah. Kenapa agaknya Saidina
Hussain tetap berkeras untuk ke Kufah? Jawapan
Saidina Hussain adalah seperti berikut:

Saya telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w.
dan saya telah melakukan sesuatu yang telah ditentukan
kepada saya tanpa mengira ia
mendatangkan keburukan kepada diri saya atau
memberikan keuntungan kepada saya.

Lalu ‘Abdullah bin Yahya berkata: Apakah mimpi anda
itu?

Jawab al-Hussain: Saya tidak dapat menceritakannya
kepada seseorangpun, malah saya tidak boleh
memberitahu kepada seseorangpun sehingga saya
bertemu dengan Tuhan saya – Rujuk Tarikh al-Umam wa
al-Muluk, jilid 4, ms. 388. Penulis nukil dari buku
Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah
Yang Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr.
Ibrahim Ali Sya’wat, ms. 270.

Sebenarnya sikap Saidina Hussain ini memiliki
persamaan dengan ‘Uthman bin Affan. Ketika rumah
‘Uthman dikepung oleh para pemberontak, para sahabat
serta umat Islam telah menawarkan bantuan untuk
menghancurkan kepungan tersebut. Namun ‘Uthman menolak
pelawaan tersebut demi untuk mengelak
pertumpahan darah sesama umat Islam. Namun demikian
motivasi sebenar ‘Uthman adalah hadis Rasulullah s.a.w
yang mengkhabarkan bahawa beliau akan mati
syahid.

Dari Qatadah, bahawa Anas r.a menceritakan kepada
mereka, dia berkata: Nabi s.a.w. mendaki gunung Uhud
bersama Abu Bakar, ‘Umar, serta
‘Uthman. Tiba-tiba Uhud bergoncang. Baginda bersabda:
Tenanglah wahai Uhud – aku kira baginda memukulnya
dengan kakinya – tak ada di
atas mu kecuali seorang Nabi, Shiddiq dan dua syahid.
– Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 3697.

Ternyata al-Shiddiq itu gelaran bagi Abu Bakar r.a
manakala ‘Umar telah syahid ketika menjadi khalifah,
maka ‘Uthman berpendapat bahawa seorang lagi yang
bakal syahid menurut sabda Rasulullah s.a.w. tersebut
adalah beliau sendiri. Itulah sebabnya ketika
pemberontak menyerbu rumah ‘Uthman, beliau tetap
menghalang para sahabat yang ada di situ untuk
membantunya lalu berkata:

Saya bersabar menghadapi janji yang telah dijanjikan
oleh Rasulullah s.a.w. kepada saya. Saya akan
berhadapan dengan kematian saya sebagaimana
yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.. – rujuk
Tarikh al-Umam wa al-Muluk karya Imam al-Tabari, ms.
391-392. Penulis nukil dari buku
Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang
Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr. Ibrahim Ali
Sya’wat, ms. 265.

Malah al-Tabari juga melaporkan bahawa ‘Uthman tidak
menghalang pemberontak untuk membunuhnya kerana:

Uthman telah bermimpi pada malam kejadian, Nabi s.a.w.
datang menemuinya dan berkata kepadanya: Saya harap
anda dapat berbuka bersama
dengan kami pada malam ini. – Tarikh al-Umam wa
al-Muluk, jilid 4. ms. 383. Penulis nukil dari buku
Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah
Yang Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr.
Ibrahim Ali Sya’wat, ms. 265.

Tentang syahidnya ‘Uthman dan Saidina Hussain maka
Prof. Dr Ali Sya’wat berkata:

Tidakkah pembaca bersama dengan penulis yang pendirian
yang diambil oleh al-Hussain adalah sama dengan
pendirian yang diambil oleh ‘Uthman bin
‘Affan? Keduanya melihat kematian sebagai sesuatu yang
sudah pasti berada dihadapannya. Keduanya juga telah
dinasihati oleh keseluruhan
orang-orang yang ikhlas yang berada disamping mereka.
- Rujuk buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta
Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan
Semula karya Prof. Dr. Ibrahim Ali Sya’wat,
diterjemahkan oleh Dr Basri Ibrahim, terbitan
Jahabersa, cetakan 2005 Kuala Lumpur, ms. 271.

Apabila mendengar pergerakan rombongan Saidina Hussain
ke Kufah maka Yazid memerintahkan gabenor beliau di
Basrah iaitu Ubaidullah bin Ziyad serta
tenteranya untuk berangkat ke Kufah bagi memantau
pergerakan Saidina Hussain serta kebangkitan
orang-orang Kufah. Tindakan Yazid bukanlah sesuatu
yang
sukar untuk difahami bagi mereka yang arif dalam
bidang politik. Mana-mana pemimpin pasti akan
berwaspada sekiranya terdapat ura-ura bahawa
pemberontakan
bakal terjadi dan ianya bukan sahaja boleh menggugat
tampuk pemerintahannya malah akan menggugat kestabilan
politik umat Islam pada masa itu. Harus kita
semua fahami bahawa arahan dari Yazid hanyalah untuk
memantau atau memerhatikan sahaja pergerakan Saidina
Husain dan penduduk Kufah tersebut dan
tindakan hanya perlu diambil sekiranya mereka terlebih
dahulu memulakan serangan. Namun begitu Ubaidillah bin
Ziyad telah bertindak berlebihan dari arahan
sebenar Yazid lalu menyerang Saidina Hussain dan
rombongannya di Karbala. Tidakan Ubaidillah bin Ziyad
hanyalah bertujuan untuk menunjukkan kehebatannya
serta mengampu khalifah. Apa yang menghairankan adalah
tindakan penduduk Kufah yang kononnya sanggup untuk
berkorban jiwa dan raga untuk mengangkat
Saidina Hussain sebagai Khalifah serta menjatuhkan
Yazid telah melarikan diri apabila melihat kemaraan
tentera Ubaidillah bin Ziyad. Maka terpaksalah Saidina

Hussain dan rombongannya yang hanya berjumlah sekitar
70 orang berhadapan dengan tentera Ubaidillah yang
jauh lebih besar jumlahnya dari mereka. Mana pergi
penduduk Kufah yang dikatakan terdapat sejumlah 12,000
orang yang telah bersiap sedia untuk menerima Saidina
Hussain? Sekiranya 12,000 penduduk Kufah
yang jumlah tersebut sebenarnya adalah jauh lebih
besar dari tentera Ubaidillah mempertahankan Saidina
Hussain kemungkinan besar tentera Ubaidillah akan
dapat
ditewaskan. Namun demikian ini hanya membuktikan
bahawa penduduk Kufah memang pada asalnya tidak
memiliki niat untuk menaikkan Saidina Hussain sebagai
Khalifah. Perkara ini sebenarnya adalah sebahagian
dari agenda kelompok Syiah untuk menimbulkan fitnah di
kalangan umat Islam iaitu dengan melaga-lagakan
Saidina Hussain dengan Yazid. Maka syahidlah Saidina
Hussain di Karbala. Hal ini membuatkan Yazid sendiri
begitu sedih serta marah dengan tindakan yang telah
di ambil oleh Ubaidillah bin Ziyad itu. Beliau juga
telah diriwayatkan telah memberi perlindungan kepada
ahli keluarga Saidina Hussain yang terselamat dari
serangan
tentera Ubaidillah sehinggalah mereka kembali ke
Madinah. Justeru itu dapat kita fahami bahawa kisah
Karbala versi Syiah yang menyatakan Yazid adalah
pembunuh sebenar Saidina Hussain malah kononnya Yazid
telah menyuruh kepala Saidina Hussain dipenggal untuk
diserahkan kepadanya adalah tidak benar sama
sekali. Pihak yang sebenarnya bertanggungjawab di atas
kematian Saidina Hussain adalah golongan Syiah di
Kufah dan juga sikap berlebih-lebihan yang telah
diambil oleh Ubaidillah bin Ziyad. Malah ‘Abdullah
ibnu ‘Umar seorang sahabat Nabi yang besar
kedudukannya bahkan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda
tentang beliau: Sesungguhnya ‘Abdullah [Ibnu ‘Umar]
adalah seorang lelaki yang soleh [rujuk hadis riwayat
Imam al-Bukhari, no: 3740] telah
mempertanggungjawabkan penduduk Kufah atas kematian
Saidina Hussain. Dari Abdul Rahman bin Abi Na’m dia
berkata:

Aku melihat (Abdullah) Ibn ‘Umar ditanya oleh seorang
lelaki berkenaan hukum darah lalat. Ibn ‘Umar
bertanya: Kamu berasal dari mana?

Lelaki itu menjawab: Aku daripada orang-orang Iraq.

Lalu Ibn ‘Umar berkata: Lihatlah orang ini, dia
bertanya kepada aku berkenaan darah lalat padahal
mereka (orang-orang Iraq) membunuh cucu
Nabi s.a.w.. Aku mendengar Nabi s.a.w. bersabda:
Mereka berdua (Hasan dan Husain) adalah penyejuk
hatiku di dunia. – Hadis riwayat Imam
al-Bukhari, no: 5994.

Malah Saidina Hussain sendiri telah menyalahkan
penduduk Kufah di atas peperangan berat sebelah yang
terpaksa beliau hadapi apabila menentang tentera
Ubaidullah. Telah diriwayatkan bahawa ucapan beliau
yang terakhir sebelum terbunuh di Karbala adalah:

Ya Allah, berilah putusan di antara kami dan di antara
orang-orang yang mengajak kami untuk menolong kami,
namun ternyata mereka membunuh
kami. – Rujuk buku Pengkhianatan Pengkhiantan Syiah
Dan Pengaruhnya Terhadap Kekalahan Umat Islam karya
Dr. Imad Ali Abdus Sami’, Pustaka Al-Kautsar,
Jakarta 2006, ms. 35-36.

SAMBUTAN HARI ASHURA DAN KAITANNYA DENGAN PERISTIWA
KARBALA

Justeru itu rentetan dari peristiwa Karbala ini timbul
dua golongan yang menyambut hari Asyura secara
ekstrem.

Golongan pertama : Mereka tediri dari pengikut Syiah
al-Rafidhah yang telah menjadikan tarikh 10 Muharam
setiap tahun sebagai hari untuk berkabung dan
menujukkan kesedihan demi untuk memperingati kematian
Saidina Hussain ini. Ketika menyambut hari Asyura
mereka telah memperlihatkan perbuatan-perbuatan
umat jahiliah seperti memukul wajah serta tubuh badan
mereka sehingga berdarah, menyiksa diri, berteriak
serta menangis menunjukkan kesedihan dan
merobek-robek pakaian mereka. Keadaan sebegini masih
diamalkan oleh penganut fahaman Syiah seperti di Iran,
Iraq, Pakistan dan lain-lain tempat lagi. Ternyata
perbuatan ini amat bertentangan dengan hukum syarak
kerana apa yang diperintah oleh Allah S.W.T apabila di
timpa musibah adalah untuk bersabar. Ini
sebagaimana firman-Nya:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan
sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan
merasai) kelaparan, dan (dengan
berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta
hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada
orang-orang yang sabar: (Iaitu)
orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu
kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah
kepunyaan Allah dan kepada
Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah
orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai
kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya;
dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk
hidayah-Nya. – al-Baqarah [2] : 155-157

Perbuatan meratap serta menyiksa diri sendiri apabila
ditimpa musibah telah dicela oleh syarak sebagaimana
hadis-hadis di bawah.

Nabi s.a.w. bersabda:

Bukan golongan kami orang yang memukul pipi, merobek
pakaian dan berdoa dengan doa-doa jahiliah. – Hadis
riwayat Imam al-Bukhari, no: 1294

Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda:

Saya tidak bertanggungjawab kepada orang yang ditimpa
musibah lalu menangis dengan suara yang keras
[berteriak-teriak] atau menggondolkan
rambutnya atau merobek bajunya. – Hadis riwayat Imam
Muslim, no: 104.

Golongan Syiah ini juga telah memperhebatkan lagi
celaan mereka kepada para Sahabat Nabi pada Hari
Asyura. Mereka juga membacakan syair-syair serta
hikayat-hikayat palsu menceritakan tentang peristiwa
Karbala. Apa yang menghairankan adalah terdapat
seorang tokoh sasterawan tempatan yang menyanjung
nilai-nilai sastera golongan Syiah berkaitan peristiwa
Karbala ini. Di mana letak akalnya yang sihat tatkala
menganggap kisah-kisah palsu sebagai sesuatu bentuk
penulisan yang memilki nilai kesasteraan yang tinggi?
Masih terdapat banyak lagi perkara-perkara yang
bertentangan dengan syarak dilakukan oleh kelompok
Syiah
ini pada Hari Asyura.

Golongan ke dua : Golongan ini pula menyambut hari
‘Asyura sebagai satu hari perayaan yang penuh dengan
kebahagian. Mereka ini pula terdiri kelompok yang
memusuhi golongan Syiah al-Rafidhah yang digelar
Nawashib. Kelompok ini terdiri dari golongan Ahlu
Sunnah yang jahil, mereka yang memusuhi Saidina ‘Ali
serta ahli keluarganya, penjilat kerajaan Bani Umaiyah
serta mereka yang membenci golongan Syiah al-Rafidhah
dan menterjemahkan kebencian mereka itu dengan
melakukan sesuatu yang berlawanan dengan golongan
Syiah iaitu menunjukkan kegembiraan pada hari Asyura.
Mereka menyambut Hari Asyura bagaikan suatu
pesta, menghias bandar-bandar mereka dengan indah,
memasak makanan-makanan tertentu lalu bersedekah
kepada orang ramai, menyediakan makanan yang
lazat-lazat dan lain-lain lagi upacara yang
mencerminkan ianya suatu hari untuk bergembira seperti
Hari Raya. Perbuatan kelompok ini juga bertentangan
dengan
syarak apatah lagi sekiranya ianya dilakukan
bersempena dengan hari terbunuhnya Saidina Hussain,
cucu kepada Rasulullah s.a.w. yang merupakan pemimpin
kepada para pemuda yang menghuni syurga. Wajarkah
suasana yang gembira dihubung-kaitkan dengan satu
peristiwa hitam dalam sejarah umat Islam yang
mengakibatkan syahidnya seorang yang memiliki
keutamaan serta kedudukan yang tinggi bagi masyarakat
Islam? Apatah lagi tidak pernah ada contohnya dari
Rasulullah s.a.w. untuk menyambut Hari Asyura seperti
hari perayaan yang besar malah para sahabat, para
salafussoleh serta Imam-Imam mazhab yang empat juga
tidak pernah menganjurkan sambutan yang sedemikian
rupa. Oleh itu sambutan sedemikian rupa merupakan
suatu amalan bidaah yang sesat dan boleh
mengakibatkan pelakunya dihumban ke dalam neraka.
Sabda Rasulullah s.a.w.:

Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada
Allah, mendengar nasihat dan mentaatinya. Sesungguhnya
manusia itu
berkelompok-kelompok, siapa yang akan hidup di antara
kalian kelak akan melihat adanya banyak perbezaan
pendapat. Maka hendaklah kalian
berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah para
Khulafa al-Rasyidin. Berpegang teguhlah kepadanya dan
peganglah ia erat-erat. Jauhilah
segala perkara yang baru kerana setiap perkara yang
baru itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat.
– Hadis riwayat Imam Abu Dawud, no:
3991.

Jika kedua-dua cara menyambut hari Asyura seperti di
atas adalah suatu bentuk kesesatan dalam agama maka
apakah yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam
pada Hari Asyura?

HARI ASYURA DAN AMALAN-AMALAN SUNNAH BERKAITAN
DENGANNYA

Terdapat begitu banyak kisah-kisah yang telah
dihubung-kaitkan dengan Hari Asyura namun sebenarnya
ia tidak memiliki sandaran yang kukuh. Baru-baru ini
telah disebarkan kononnnya terdapat banyak kisah-kisah
penting yang terjadi kepada para Nabi dan Rasul serta
perkara-perkara berkaitan kejadian alam oleh
Allah S.W.T. berlaku pada tanggal 10 Muharam.
Peristiwa-peristiwa tersebut adalah:

1) Nabi Adam a.s bertaubat kepada Allah.

2) Nabi Idris a.s diangkat oleh Allah ke langit.

3) Nabi Nuh a.s diselamatkan oleh Allah dari banjir
besar dengan bahteranya setelah bumi ditenggelami air
selama 6 bulan. Setelah itu beliau kononnya telah
menyediakan bubur untuk dimakan bersama kaumnya.
Melalui peritiwa inilah berpuncanya adat memasak bubur
Asyura setiap kali muncul 10 Muharam.

4) Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan dari dibakar oleh
Raja Namrud.

5) Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.

6) Nabi Yusuf a.s dibebaskan dari penjara.

7) Penglihatan Nabi Yaakub a.s yang kabur dipulihkan.

8) Nabi Ayub a.s dipulihkan dari penyakit kulit yang
dideritainya

9) Nabi Yunus a.s selamat keluar dari perut ikan paus
setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.

10) Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi
Musa a.s dan pengikutnya dari tentera Fira’un.

11) Kesalahan Nabi Daud a.s diampuni Allah.

12) Nabi Sulaiman a.s dikurniakan Allah kerajaan yang
besar.

13) Nabi Isa a.s diangkat ke langit.

14) Hari pertama Allah menciptakan alam.

15) Hari pertama Allah menurunkan rahmat.

16) Hari pertama Allah menurunkan hujan.

17) Allah menciptakan ‘Arasy.

18) Allah menjadikan Luh Mahfuz.

19) Allah menciptakan Malaikat Jibril.

Ternyata cerita yang sah berkaitan dengan Hari Asyura
hanyalah peristiwa Nabi Musa a.s diselamatkan dari
tentera Fir’aun. Ini adalah kerana kesahihan kisah
tersebut berlaku pada hari Asyura telah diperakui oleh
Rasulullah s.a.w. sendiri sebagaimana yang terdapat di
dalam Shahih al-Bukhari:

Nabi s.a.w. datang ke Madinah, dan dilihatnya
orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut
mereka: Ini hari baik di saat mana Allah
membebaskan Nabi Musa dari Fir’aun. Maka sabda Nabi
s.a.w.: “Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada
mereka maka berpuasalah. - Hadis
riwayat Imam al-Bukhari, no: 4680.

Oleh itu sewajarnya kita tidak menghubung kaitkan
apa-apa peristiwa berkaitan hari Asyura melainkan
terdapat dalil yang sah dari hadis-hadis Nabi s.a.w..
Melalui hadis di atas ini juga dapat kita fahami
bahawa amal ibadah khusus sempena hari Asyura yang
diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w. adalah ibadah puasa.
Ternyata berpuasa pada hari Asyura ini memiliki
kelebihan atau fadilat yang begitu besar.

Ibnu ‘Abbas r.a pernah ditanya mengenai masalah
berpuasa pada hari Asyura, beliau menjawab: Aku tidak
pernah melihat Rasulullah s.a.w.
berpuasa sehari pada hari Asyura untuk mencari
kelebihan atau fadilat yang tidak ada pada hari-hari
selain hari ini… - Hadis riwayat Imam
al-Bukhari, no: 2006.

Berpuasa pada hari Asyura juga dapat menghapuskan
dosa-dosa kita pada tahun sebelumnya. Ini sebagaimana
sabda Rasulullah s.a.w.:

Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan
ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh.
Sedangkan puasa hari Arafah
pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa
setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun
puasa hari Asyura, pahalanya menurut
Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. –
Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1163.

Allah S.W.T juga mengurniakan taufik-Nya kepada mereka
yang berpuasa pada hari Asyura. Dari Ibnu ‘Umar r.a,
dia berkata:

…Tidaklah seoarang hamba berpuasa di dalamnya [hari
Asyura] kecuali puasanya akan memberikan taufik
kepadanya – Hadis riwayat Imam
al-Bukhari, no: 1892.

Disunnahkan juga untuk menambahkan puasa pada hari
Asyura tersebut dengan berpuasa sehari sebelum ataupun
sehari sesudahnya. Rasulullah s.a.w.
memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi
amalan orang Yahudi. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah
dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah
sehari sebelumnya atau sehari
sesudahnya. – Hadis riwayat Imam Ahmad, no: 2047.

Rasulullah s.a.w tidak pernah memerintahkan
amalan-amalan ibadah lain untuk dikhususkan sempena
hari Asyura melainkan ibadah berpuasa sebegini sahaja.
Oleh itu sebaik-baiknya kita berusaha untuk
mengamalkan sunnah Nabi s.a.w. ini.


No comments: